Cadangan SAMM Johor Untuk Dikemukakan Di Dalam Bajet 2015 Kerajaan Negeri Johor

Pendahuluan

2015 menandakan Negara termasuklah negeri Johor akan memasuki fasa 5 tahun terakhir sebelum sasaran Negara maju berpendapatan tinggi 2020 menjadi kenyataan. Oleh itu, fasa ini perlulah dimaknai dengan tindakan-tindakan affirmative daripada kerajaan Negeri bagi tujuan mempersiapkan rakyat dan negeri ini untuk mencapai status Negara maju.

Sekitar November 2014 nanti, Kerajaan Negeri Johor dijadualkan akan membentangkan Bajet 2015 bagi negeri Johor semasa Persidangan Dewan Negeri. SAMM Negeri Johor sebagai antara gerakan massa muda dalam negeri ini merasa terpanggil untuk memberikan beberapa cadangan dan input yang difikirkan sesuai kepada Kerajaan Negeri.

CADANGAN 1 : Menarik Lebih Banyak Pelabur Ke Johor

Iskandar Malaysia merupakan satu pelan pembangunan ekonomi yang dijangka akan memberikan impak positif ke arah kemajuan negeri Johor. Selain itu, Johor merupakan negeri kelima dalam Malaysia yang mempunyai keluasan tanah yang besar dan kedua yang mempunyai populasi teramai.

Adalah penting untuk Kerajaan Negeri menggunakan kelebihan-kelebihan yang ada pada Johor untuk menarik kehadiran pelabur-pelabur masuk ke negeri ini. Terutamanya dalam industri-industri yang boleh menjana pendapatan tinggi bukan sahaja untuk negeri ini tetapi juga untuk pekerja-pekerja mereka. Penubuhan silicon valley, industri automotif, industri penerbangan, industri minyak dan gas dan lain-lain boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor.

Pembangunan Iskandar Malaysia tidak harus bertumpu kepada aspek pembinaan rumah-rumah mahal, hospital-hospital swasta dan pusat-pusat pendidikan tinggi swasta semata-mata tetapi juga perlu lebih giat untuk menarik kehadiran pelaburan industri dan perkhidmatan lain.

Kerajaan Negeri melalui sayap pelaburan negeri perlu lebih aktif dan progresif dalam memetakan Johor sebagai satu lokasi tumpuan pemain-pemain industri berpendapatan tinggi untuk melebarkan sayap pelaburan mereka. Roadshow dan pameran-pameran pelaburan antarabangsa perlu giat diteroka selain daripada menyediakan prasarana dan iklim perniagaan yang kondusif untuk menarik kehadiran mereka ke bumi Johor seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

SAMM Johor juga mengambil maklum akan kewujudan satu rancangan wilayah pembangunan ekonomi yang melibatkan 3 wilayah iaitu Johor-Singapura-Riau. Namun nampaknya, ia telah agak lama tidak disebut atau dijayakan lagi. Dengan kewujudan kerjasama strategik antara 3 wilayah ini, SAMM Johor melihat ia akan membantu untuk turut mengukuhkan ekonomi dan perdagangan negeri ini. Adalah menjadi harapan SAMM Johor agar rancangan Forum Selatan ini dapat memulakan semula rancangan pembangunan ekonomi yang telah lama sepi itu.

SAMM Johor juga mencadangkan Kerajaan Negeri melalui sayap pelaburan negeri Johor boleh membangunkan semula idea Johore Pavilion seperti yang digagaskan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Sir Ismail ibni Al-Marhum Sultan Sir Ibrahim pada tahun 1937 di San Francisco dahulu. Johore Pavilion boleh berfungsi sebagai satu platform untuk menunjukkan keberdayaan Johor sebagai destinasi pelaburan paling kompeten di samping membawa produk-produk PKS, budaya, seni dan lain-lain ke pentas antarabangsa.

CADANGAN 2 : Keutamaan Kepada Anak Negeri

SAMM Negeri Johor mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar mula menggunapakai mekanisme yang memberikan keutamaan kepada anak Johor terutamanya dalam aspek peluang pekerjaan, pemberian tender atau kontrak pembangunan dan juga dalam aktiviti-aktiviti ekonomi.

Dalam aspek pemberian tender atau kontrak, SAMM Johor tidak mengatakan ia wajib diberikan kepada kontraktor atau syarikat milikan penuh anak Johor tetapi keutamaan perlulah ada. Bagi kerja-kerja yang kritikal, SAMM Johor melihat jalinan kerjasama strategik di antara syarikat kontraktor milikan penuh anak Johor dengan syarikat-syarikat kontraktor negeri-negeri lain boleh diadaptasi.

Keutamaan dalam sektor pekerjaan juga harus diberikan kepada anak-anak Johor bagi mengelakkan tenaga kerja Johor ini bertaburan ke negeri-negeri lain. Terutamanya bagi kelompok pekerja mahir dan pakar. Adalah sesuatu yang amat merugikan apabila tenaga mahir dan pakar ini tidak dapat memberikan sumbangan kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk membantu membangunkan negeri ini menjadi sebuah negeri maju dan berdaya saing.

Kerajaan negeri perlu mengetatkan proses kemasukan tenaga kerja asing terutamanya dalam sektor separa mahir dan mahir. Mana-mana pemain industri bukan kritikal yang dilihat cuba untuk meraih keuntungan dengan mengambil tenaga kerja asing ekoran daripada gaji yang rendah perlu diambil tindakan.

Sistem kuota perumahan dan hartanah anak Johor juga perlu diperkenalkan dengan menyediakan keutamaan dan bilangan lot perumahan dan hartanah khas untuk anak-anak Johor. Kerajaan Negeri melalui sayap pelaburan seperti JCorp dan KPRJ perlu menitikberatkan anak-anak Johor untuk kemudahan memiliki rumah-rumah dan tanah-tanah. Anak Johor diberikan keistimewaan untuk memiliki rumah pada kadar yang sedikit rendah daripada pasaran melalui insentif baru.

JCorp dan KPRJ juga boleh meniru skim perumahan Pulau Pinang yang menyediakan insentif sewa beli 70-30 bagi memastikan anak-anak Johor mempunyai peluang untuk memiliki rumah sendiri.

CADANGAN 3 : Kesenjangan Pendapatan dan Kos Sara Hidup

Johor Bahru merupakan negeri yang sangat rapat dengan Singapura. Dari segi geografinya dan juga hubungkait ekonominya. Peningkatan kos sara hidup di Johor Bahru mempunyai kaitan langsung dengan Singapura.

Lambakan rakyat Singapura yang datang berbelanja di Johor Bahru telah sedikit sebanyak menyebabkan berlakunya peningkatan harga barang-barang. Dua sebab mengapa berlakunya perkara ini.

Pertama adalah disebabkan permintaan terhadap barang-barang yang lebih tinggi berbanding tawaran. Kebanjiran rakyat Singapura dan juga jumlah penduduk Johor Bahru yang ketika ini berjumlah 1 juta lebih telah menyebabkan berlakunya keadaan tidak equilibrium ini. Lebihan pendapatan ini menyebabkan peniaga akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Kedua adalah disebabkan oleh nilai matawang Singapura yang lebih tinggi menyebabkan rakyat mereka memilih untuk berbelanja di Johor Bahru.

Kerajaan Negeri perlu segera mencari kaedah untuk meningkatkan pendapatan rakyat di Johor Bahru bagi mengelakkan mereka terus berada dalam keadaan ketika ini dan dikhuatiri akan menjadi lebih buruk lagi sehingga bertukar kepada kategori miskin kota.

Kemasukan pelabur-pelabur dan industri berpendapatan tinggi akan mampu meminimakan kesan kesenjangan pendapatan dan kos sara hidup. Ditambah lagi, dengan mengadaptasi dasar keutamaan kepada anak negeri, maka sudah pastilah limpahan pembangunan negeri ini tidak akan mengakibatkan anak-anak Johor menjadi warga miskin kota dalam Bandaraya Johor Bahru.

CADANGAN 4 : Kumpulan Perubatan Johor (KPJ)

KPJ, cabang pelaburan industri kesihatan milik JCorp adalah antara sayap pelaburan yang agak berjaya. Deretan hospital-hospital swasta telah dibina di bawah payung KPJ bukan sahaja di dalam negeri Johor namun, sehingga ke seluruh pelusuk Malaysia.

Namun begitu, tidak ada keistimewaan yang diterima oleh anak Johor sebagai stakeholders tidak rasmi JCorp. Adalah dicadangkan agar Kerajaan Negeri melihat kesesuaian untuk setiap anak Johor diberikan sedikit insentif atau diskaun rawatan kesihatan di mana-mana pusat perubatan milik KPJ.

JCorp sebagai sebuah entiti syarikat milik kerajaan tidak seharusnya hanya berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya turut memainkan tanggungjawab sosial dalam memastikan kesihatan anak Johor terus berada dalam keadaan terbaik.

Jika tidak, ramai anak-anak Johor hanya sekadar melihat kemegahan bangunan-bangunan hospital milik KPJ di serata pelusuk tanahair tetapi tidak dapat merasai nikmat penubuhannya.

CADANGAN 5 : Pembangunan Kebudayaan, Keseniaan dan Bahasa

SAMM Negeri Johor menyambut baik cadangan Kerajaan Johor untuk menubuhkan Pusat Persuratan Melayu Nusantara atau Forum Selatan. Idea untuk memperkasakan bahasa Melayu Johor ini sememangnya sesuatu yang amat penting dalam mencipta ruang pengukuhan tamadun kenegeraan.

Forum Selatan yang akan menggabungkan Johor-Riau-Singapura di atas satu platform untuk mengungkap kembali sejarah kebudayaan, bahasa dan penulisan memang wajar disokong oleh segenap lapisan rakyat negeri ini. Ini memandangkan ikatan sejarah dan hubungan antara 3 wilayah ini yang telah terjalin berkurun lamanya. Tiada yang dapat menyangkal fakta ini.

SAMM Johor juga amat berharap agar idea ini tidak terhenti dengan satu aspek sahaja. Ia harus berkembang dengan penyatuan kebudayaan dan keseniaan serta jalinan hubungan diplomatik dan ekonomi yang utuh antara 3 wilayah ini. Kerajaan Johor juga perlu memulakan inisiatif pembangunan pusat sehenti kebudayaan dan keseniaan Johor-Riau-Singapura.

Begitu juga dalam aspek pembangunan kebudayaan dan keseniaan semua segmen masyarakat yang ada di bumi Johor. Dalam pada kita memacu kemajuan berasaskan pembangunan ekonomi dan fizikal, usaha-usaha untuk turut membawa bersama perkembangan bahasa, budaya dan adat resam juga tidak boleh dipinggirkan.

Johor sebagai antara negeri yang kaya dengan ilmu persuratan, kebudayaan dan kesenian. Bahasa Melayu Johor-Nusantara, zapin, kuda kepang, ghazal, keroncong, tarian singa dan lain-lain antara merupakan produk kebudayaan dan kesenian klasik yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Sehubungan itu, SAMM Johor mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar segera mewujudkan satu lokasi khas Panggung Kebudayaan di Bandaraya Johor Bahru dan Bandar Maharani Bandar DiRaja Muar.

PENUTUP

Seharusnya, Bajet 2015 Negeri Johor ini menjadi pemangkin yang progresif dalam memastikan anak Johor tidak keciciran menjelang 10 tahun terakhir pembangunan Iskandar Malaysia. Tumpuan dan fokus perlu terarah dalam membangunkan ekonomi domestik, pendapatan boleh guna rakyat dan juga aspek perumahan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Memasuki fasa 5 tahun terakhir sebelum bergelar Negara Maju, cadangan-cadangan di atas diharap akan dapat terus memacu kemajuan negeri Johor di samping akan terus mengukuhkan rasa kecintaan dan bangga menjadi anak Johor dalam diri setiap warga. SAMM Johor amatlah berharap agar segala usaha ini menjadi kenyataan supaya kegemilangan tamadun Johor yang berusia ratusan tahun ini dapat dikembalikan semula.

SETIA BERSAMA JOHOR

SOLIDARITI ANAK MUDA MALAYSIA (SAMM) NEGERI JOHOR

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s